Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-124 yang bersidang pada 19 hingga 21 Zulhijah 1445 bersamaan 26 hingga 28 Jun 2024 telah membincangkan mengenai Ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light Menurut Ahli Sunah Waljamaah. Muzakarah telah berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang telah dikemukakan oleh penyelidik dan berpandangan seperti yang berikut:
(a)
Ajaran The Ahmadi Religion of
Peace and Light adalah sesat dan menyeleweng
serta bercanggah dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak berdasarkan
kepercayaan dan amalan mereka seperti yang berikut:
(i) mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (Imam syiah yang ke- 12) sebagai Imam al-Mahdi. Beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman;
(ii) mendakwa Imam al-Mahdi iaitu Muhammad ibn al-Hassan al-Askari mempunyai para penolong atau ansar yang terdiri daripada 12 orang yang dianggap sebagai keturunannya secara maknawi/rohani. 12 orang ini dianggap sebagai Mahdi-Mahdi kecil yang menjadi wakil kepada Imam Mahdi daripada satu generasi kepada generasi sehingga Imam al-Mahdi keluar daripada persembunyiannya;
(iii) mendakwa Ahmad al-Hasan sebagai Mahdi (penolong Imam al-Mahdi) yang pertama manakala Abdullah Hashem sebagai Mahdi yang kedua;
(iv) mendakwa Ahmad al-Hasan yang digelar al-Yamani berperanan sebagai utusan kepada Imam al-Mahdi dan akan membawa syariat baharu dan terakhir yang menyempurnakan ajaran dan syariat para Nabi terdahulu. oleh itu, syariat yang dibawa oleh Ahmad al-Hasan akan diubah sesuai dengan zaman semasa;
(v) mendakwa Abdullah Hashem yang digelar sahabat dari Mesir (the companion of Egypt) berperanan sebagai pembangkit keluarga Nabi SAW (The riser/Qaim of the family of Mohammed) yang akan memimpin manusia bagi menyambut Imam al-Mahdi. Imam al-Mahdi hanya akan bercakap kepada manusia melalui al-Qaim;
(vi) mempercayai bahawa Imam Mahdi akan menyempurnakan agama Islam yang masih belum sempurna.
(vii) menafikan konsep syurga dan neraka serta akhirat secara umum dan keseluruhannya yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadis serta mendakwa syurga yang didiami oleh Nabi Adam dan Hawa ialah di dunia, malah syurga akhirat itu juga adalah di dunia, manakala neraka pula membawa maksud matahari;
(viii) membuat dakwaan palsu terhadap para rasul, nabi dan isteri-isteri mereka, antaranya—
(A) mendakwa bahawa isteri Nabi Nuh AS diselamatkan daripada banjir besar walaupun pada awalnya menentang ajaran Nabi Nuh AS. Pengkhianatan isterinya yang dimaksudkan dalam al-Quran adalah kerana dia melakukan hubungan terlarang dengan lelaki lain dan melahirkan salah seorang anak yang kemudiannya tenggelam dalam banjir tersebut;
(B) mendakwa Tuhan memerintahkan Nabi Adam AS dan keturunannya untuk mengamalkan taqiyyah dalam beragama;
(C) mendakwa Nabi Ibrahim AS berkahwin dengan adik tirinya iaitu Sarah. Hujah ini adalah berdasarkan keterangan yang terdapat dalam Bible;
(D) Mendakwa Nabi Lut AS menawarkan anak-anak perempuannya untuk melakukan hubungan terlarang dengan pemuda-pemuda kampungnya dan menuduh Nabi Lut AS melakukan hubungan sumbang dengan anak-anak perempuannya. Nabi Lut AS juga dituduh melanggar perintah Allah dengan enggan meninggalkan kaumnya;
(E) mendakwa Siti Hawa AS mencemburui Siti Fatimah AS kerana Allah Taala menjadikannya wanita yang lebih baik daripadanya bahkan Nabi Adam AS dikatakan pernah cuba melakukan hubungan terlarang dengannya sehingga datang Saidina Ali KAW menghalaunya daripada syurga;
(F) mendakwa bahawa Nabi Idris AS ialah dewa kepercayaan Mesir purba iaitu Osiris dan mempunyai anak bernama Horus. Horus pula didakwa sebagai jelmaan malaikat bernama Hoor-Rael dan juga adalah jelmaan Nabi Nuh AS; dan
(G) mendakwa bahawa Nabi Isa AS ialah Malaikat Jibril AS;
(ix) menghina para Rasul dan Rasul dengan mengatakan bahawa terdapat para Nabi yang hampir-hampir ditarik balik kenabiannya termasuklah Nabi Musa AS, Nabi Yaakob dan Nabi Muhammad SAW;
(x) mendakwa bahawa Nabi Muhammad SAW melakukan kesalahan kerana tidak mengkhabarkan kepada para Sahabat RA tentang kedudukan Saidina Ali RA kerana malu bahawa beliau adalah sepupu dan berkahwin dengan anaknya. Saidina Abu Bakar dan Saidina ‘Umar RA juga dituduh memesongkan orang Islam dan menyeleweng daripada ajaran Islam dengan mengetepikan Saidina Ali RA sebagai pengganti yang sebenar;
(xi) berpegang kepada konsep rajáh atau kelahiran semula manusia yang telah mati (reincarnation);
(xii) mendakwa bahawa Al-Quran yang ada pada hari ini tidak lengkap atau diselewengkan. Al-Quran yang ada pada hari ini adalah versi tidak lengkap yang dikumpulkan oleh Saidina Uthman RA manakala versi lengkap ialah yang dikumpulkan oleh Saidina Ali RA yang diperturunkan kepada para Imam Syiah sehingga kepada al-Qaim, iaitu Abdullah Hashem;
(xiii) menafikan kewujudan Malaikat pencatat amal baik dan buruk serta mendakwa ianya simbolik kepada indera manusia;
(xiv) mendakwa bahawa selain Allah, terdapat pihak lain yang terbabit dan berperanan dalam penciptaan manusia dan alam;
(xv) mendakwa penyaliban Nabi Isa AS adalah menghapuskan dosa semua manusia pada zamannya, begitu juga kematian Saidina Hussain dan Nabi Yahya AS;
(xvi) mendakwa bahawa wanita tidak perlu memakai hijab dengan alasan bahawa ia adalah syariat Ahmad al-Yamani, bahkan mendakwa bahawa ia bukan amalan Islam dan hijab bagi wanita hanya sunat dan bukannya wajib. Oleh itu, Abdullah Hashem akan berusaha menghapuskan ajaran Islam mengenainya dan menggantikannya dengan kefahamannya;
(xvii) mendakwa solat bermaksud tunduk kepada Rasul, Nabi dan Imam. Solat lima waktu adalah merujuk kepada wali-wali atau wakil-wakil al-Mahdi termasuk Ahmad al-Hassan, Abdullah Hashem dan penolong-penolong Imam Mahdi yang seterusnya. Oleh itu, solat dikatakan sebagai bermaksud patuh kepada mereka;
(xviii) mendakwa arak adalah halal dan pengharamannya pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah disebabkan kerana masyarakat Arab terlalu ekstrem meminumnya;
(xix) mendakwa perbuatan homoseksual belum diharamkan pada zaman Nabi Lut dan perbuatan tersebut bukan satu kesalahan;
(xx) mendakwa Kaabah di Mekah adalah didirikan oleh kaum Quraisy dan Kaabah yang sebenar adalah terletak di Petra Jordan; dan
(xxi)
mendakwa
bahawa kalendar Hijrah adalah bukan berasaskan kiraan Qamariyyah dan
sebaliknya ialah Shamsiyyah. Oleh itu, umat Islam selama ini telah
tersilap dalam ibadat puasa dan ibadat haji mereka yang dilaksanakan bukan pada
waktunya. Bulan Ramadhan yang sebenar didakwa pada bulan Disember dan orang
Islam sepatutnya berpuasa pada bulan tersebut;
(b)
mana-mana individu atau kumpulan orang yang mengamal dan menyebar fahaman, ajaran dan pegangan seumpama ini
adalah menyeleweng daripada ajaran Islam;
(c)
orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran ini serta dilarang berpegang dan beramal dengannya.
Mana-mana orang Islam yang telah mengikut dan mengamalkan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada
Allah SWT;
(d)
apa-apa publisiti, pengajaran, penulisan, penyiaran dan penerbitan bahan
bercetak, audio visual atau apa-apa yang berkaitan dengan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light adalah
tidak dibenarkan dan hendaklah disekat;
dan
(e)
umat
Islam hendaklah berpegang kepada
pegangan Ahli Sunah Waljamaah daripada aspek akidah, syariah dan tasawuf/
akhlak yang berdasarkan kefahaman Islam sebenar.