JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2025
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Pandangan Hukum Muzakarah MKI


HUKUM WAKAF BERTEMPOH (AL-MUAQQAT) DAN PELAKSANAANNYA DI MALAYSIA

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 yang bersidang pada 1 hingga 4 Rabiulakhir 1447H bersamaan 23 hingga 26 September 2025M telah membincangkan mengenai hukum wakaf bertempoh (al-muaqqat) dan pelaksanaannya di Malaysia.  Muzakarah telah bersetuju dan berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang telah dikemukakan oleh penyelidik dan berpandangan bahawa:


1. Wakaf pada asalnya adalah mesti bersifat taabid (berkekalan). Pengurusan wakaf hendaklah mengutamakan wakaf taabid dalam pelaksanaan wakaf; dan


2. Pelaksanaan wakaf al-muaqqat adalah diharuskan dengan memenuhi syarat-syarat berikut:


(a) harta yang dibenarkan untuk diwakafkan secara bertempoh meliputi harta alih, harta tak alih, harta intelek atau lain-lain harta yang mempunyai nilai mengikut Hukum Syarak;


(b) tempoh bagi wakaf al-muaqqat adalah mengikut masa yang difikirkan munasabah oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan/atau pihak-pihak yang terlibat selagi mana harta tersebut boleh mendatangkan faedah atau manfaat;


(c) peletakhakan harta wakaf semasa wakaf al-muaqqat berkuatkuasa adalah terhadap MAIN dan/atau pihak-pihak yang terlibat berdasarkan terma yang dipersetujui bersama; 


(d) satu garis panduan pengurusan wakaf al-muaqqat hendaklah diwujudkan merangkumi isu pendaftaran harta wakaf, pemindahan hak millik kepada MAIN, pihak bertanggungjawab jika berlaku kerosakan/kerugian serta menerangkan keutamaan wakaf kekal (al-muabbad) dan bidang kuasa MAIN selaku pemegang amanah tunggal wakaf termasuk wakaf al-muaqqat.


Klik disini untuk mencetak