Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia (MKI) Kali Ke-128 yang bersidang pada 1 hingga 4 Rabiulakhir 1447H
bersamaan 23 hingga 26 September
2025M telah membincangkan mengenai caruman ahli KWSP beragama Islam sebagai
harta sepencarian. Muzakarah telah bersetuju dan
berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang telah dikemukakan oleh
penyelidik dan berpandangan bahawa:
1. Tuntutan harta sepencarian ke atas wang KWSP yang dimiliki oleh ahli KWSP beragama Islam bagi mereka yang layak adalah diharuskan;
2. Apa-apa tuntutan harta sepencarian ke atas wang KWSP yang dimiliki oleh ahli KWSP beragama Islam adalah tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah;
3. Bahagian harta sepencarian yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah untuk diserahkan kepada pasangan, tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada hukum faraid; dan
4. Lembaga KWSP hendaklah menguruskan tuntutan harta sepencarian tersebut berdasarkan perintah Mahkamah Syariah yang dimeterai,
termasuk memindahkan jumlah wang tuntutan tersebut ke dalam akaun penerima yang
dinamakan dalam perintah itu berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat
kuasa.